Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pertumbuhan ekonomi Selangor membanggakan, limpahan kemajuan dinikmati rakyat

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR
& ALANG BENDAHARA

Selangor meraih pertumbuhan ekonomi membanggakan khususnya sejak lima tahun lalu bawah kepemimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hasil kerja berpasukan membolehkan hasil negeri, rizab dan pendapatan isi rumah terus menaik. Kadar pengangguran juga terkawal.

HASIL MENINGKAT

Meski diduga pandemik Covid-19, Selangor terus mencatat prestasi kutipan hasil membanggakan. Dibantu barisan EXCO dan kecekapan jentera pentadbiran, hasil negeri sentiasa melebihi RM2 bilion dalam empat tahun kebelakangan ini.

Apabila Amirudin mengepalai pentadbiran selepas pilihan raya umum 2018, hasil Selangor meningkat daripada RM1.9 bilion kepada RM2.3 bilion pada 2019.

Hasil cukai sebanyak RM700.71 juta dan bukan cukai RM1.3 bilion menjadi penyumbang utama kepada kenaikan kutipan pada 2019. Terimaan bukan hasil pada tahun itu pula ialah RM281.02 juta.

Bagaimanapun dua tahun berikutnya, negara diuji serangan wabak Covid-19. Banyak sektor ekonomi ditutup menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada 2020, kutipan hasil RM2.257 bilion. Tahun itu, hasil cukai merosot kepada RM619.31 juta. Kutipan bukan cukai sebanyak RM1.36 bilion, manakala terimaan bukan hasil menurun kepada RM277.85 juta.

Setahun kemudian, hasil negeri meningkat sedikit kepada RM2.284 bilion. Hasil cukai diterima RM627.19 juta dan kutipan bukan cukai sebanyak RM1.437 bilion. Terimaan bukan hasil pula sebanyak RM219.89 juta.

Hasil Selangor pada 2022 merekodkan angka RM2.533 bilion, melebihi sasaran awal iaitu RM 2.05 bilion. Hasil cukai meraih RM722.502 juta.

Perolehan bukan cukai RM1.543 bilion dan terimaan bukan hasil sebanyak RM268.152 juta. Hasil negeri meningkat mendadak sejajar pembukaan sektor ekonomi apabila Covid-19 mula terkawal.

RIZAB MAKIN NAIK

Rizab negeri terdiri daripada wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

Kebiasaannya jumlah rizab berubah-ubah saban tahun bergantung kepada dapatan hasil dan keperluan pembangunan bagi memastikan rakyat terus terbela.

Pada 2018, rizab sebanyak RM2.1 bilion dan kekal sama pada 2019. Namun, selepas dua tahun Amirudin memimpin, perlahan-lahan rizab meningkat walau negeri membelanjakan RM600 juta setiap tahun untuk program kebajikan rakyat Iltizam Selangor Penyayang.

Meski berdepan dampak Covid-19 mulai 2020, rizab dicatatkan sebanyak RM2.4 bilion, meningkat dari tahun sebelumnya. Pada 2021, rizab bertambah lagi kepada RM2.8 bilion. Pada 2022, rizab kewangan negeri menokok kepada RM3.1 bilion.

PENDAPATAN BERTAMBAH

Perangkaan 2007 menunjukkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah di Selangor RM4,046 berbanding negara pada RM2,552. Pada 2009, ia meningkat RM4,306 berbanding RM2,841 bagi Malaysia. (Rujuk graf muka surat 15)

Pada 2016, pendapatan isi rumah Selangor melonjak kepada RM7,225. Pada 2019, pendapatan isi rumah Selangor mencecah tahap tertinggi sejak 2007 kepada RM8,210 berbanding Malaysia pada RM5,873.

Namun pada 2020, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah Malaysia merosot 11.3 peratus kepada RM5,209 akibat pandemik, di mana Selangor juga turun 11.1 peratus kepada RM7,300.

Kecuali ketika era pandemik, peningkatan pendapatan isi rumah menaik kerana kerancakan ekonomi seiring dengan prestasi pertumbuhan negara.

Kerajaan Negeri mensasarkan pendapatan isi rumah meningkat kepada RM9,290 pada 2025, hujung RS-1 yang bermula pada 2021.

 

PENGANGGURAN TERKAWAL

Pada 2018, pengangguran negeri pada tahap 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahap nasional. Pengangguran meningkat sedikit pada 2019 kepada paras 2.9 peratus di Selangor berbanding pengangguran negara pada 3.3 peratus.

Ketika pandemik pada 2020, kadar negeri dicatatkan 4.3 peratus kerana ramai hilang pekerjaan. Kadar pengangguran seluruh negara waktu itu 4.5 peratus.

Akibat kelembapan ekonomi susulan Covid-19, pengangguran Selangor pada 2021 tidak berjaya diturunkan. Manakala pengangguran peringkat nasional menaik kepada 4.6 peratus.

Pada 2022, kadar pengangguran turun pada 2.9 peratus di Selangor. Pengangguran seluruh negara pula mencatat angka 3.6 peratus.

Penurunan itu dibantu program mencari dan padanan pekerjaan oleh Kerajaan Negeri. Antaranya, program Karnival Kerjaya Mega Selangor yang menawarkan 50,000 pekerjaan. Lebih 100 syarikat dan agensi terlibat dalam inisiatif itu.

Dasar dan usaha berterusan mencipta peluang pekerjaan menyebabkan kadar pengangguran Selangor sentiasa bawah paras nasional.


Pengarang :