Jambatan Sunway Serene di Kelana Jaya, Selangor dibuka secara rasmi pada 6 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Peruntuk RM30 juta naik taraf kemudahan Sunway Serene

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 7 JULAI: Kumpulan Sunway membelanjakan RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan berhampiran pembangunan Sunway Serene di Kelana Jaya termasuk pembukaan rasmi jambatan sepanjang 250 meter.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata di bawah cabang hartanah, Sunway Property, ia merangkumi naik taraf jalan sedia ada termasuk pemulihan tasik Sunway Serene berkeluasan 15 ekar, seiring dengan perancangan pembangunannya berkeluasan 17 ekar.

“Selaras dengan pembangunan lestari Sunway Property, perbelanjaan itu termasuk pembinaan saluran longkang sejauh 500 meter di sepanjang Jalan SS7/1 dan SS7/3, laluan pejalan kaki dengan kelebaran 1,800 millimeter (mm), naik taraf Jalan SS8/2 dari dua kepada tiga lorong dan jambatan sepanjang 250 meter berhampiran Sunway Serene.

“Kerja naik taraf jalan raya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan melancarkan laluan ke rangkaian sistem pengangkutan awam iaitu Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie, KTM Setia Jaya, LRT Kelana Jaya dan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pembukaan Jambatan Serene Sunway yang dirasmikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir di sini semalam.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (kanan) bersama Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah pada Majlis Pembukaan Jambatan Sunway Serene di Petaling Jaya pada 6 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Dr Jeffrey berkata, kumpulan itu akan terus memperkenalkan bandar karbon rendah di bawah portfolionya, sejajar dengan komitmen negara untuk menjadi ekonomi neutral karbon menjelang 2050.

“Di Kumpulan Sunway, kami percaya bahawa tiada syarikat boleh berdiri sendiri tanpa komuniti. Kami akan melaksanakan inisiatif demi komuniti di sini dan ikrar kami untuk meletakkan kepentingan komuniti di barisan hadapan operasi perniagaan syarikat ini.

“Ini termasuklah kerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memulihkan semula tasik yang mana kualiti airnya sebelum ini diklasifikasikan di bawah kelas empat dan lima yang bermaksud tidak sesuai untuk tujuan rekreasi.

“Kini, tasik tersebut dapat dipulihkan dan dibuka untuk komuniti Kelana Jaya beriadah selain menyediakan persekitaran hijau, selamat dan bersih,” katanya.


Pengarang :