Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Dana RM100 juta beli kelengkapan agensi penguatkuasaan

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkasakan operasi agensi penguatkuasaan negara termasuk menyediakan peruntukan RM100 juta bagi memperkukuh kelengkapan penguatkuasaan.

Inisiatif lain yang diumumkan adalah penambahbaikan Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada Pegawai dan Anggota Skim Penguat Kuasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican menyegerakan penyaluran peruntukan RM100 juta kepada agensi penguatkuasaan selewat-lewatnya akhir minggu depan.

“Saya setuju dalam enam bulan ini, peruntukan RM100 juta untuk bantu mereka (agensi penguatkuasaan) lengkapkan keperluan di jabatan.

KSP segerakan, harap peruntukan diterima selewatnya akhir minggu depan. Akhir minggu depan iaitu Jumaat depan peruntukan sampai ke semua jabatan. Kalau tidak sampai lapor kepada saya ,” katanya pada program Cakna MADANI Perdana Menteri bersama Agensi Penguatkuasaan yang dihadiri kira-kira 2,400 anggota.

Anwar berkata Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ditambah baik kepada kaedah bekalan Kemudahan Pakaian Seragam di enam agensi dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.

Enam agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Jumlah elaun ini kadang diberikan tidak setimpal dan ada yang kena tampung wang sendiri,” katanya.

Anwar dalam pada itu berkata budaya lama dalam perkhidmatan awam termasuk di agensi penguatkuasaan yang membabitkan ketirisan, elemen campur tangan dan pelanggaran undang-undang mesti diperbetulkan untuk menyelamatkan negara.

“Saya yakin kalau nak selamatkan negara perlu ada anjakan dari cara lama, yang baik (cara) kekalkan tetapi cara lama melibatkan ketirisan, campur tangan dan langgar peraturan itu mesti dibetulkan,” katanya.

Anwar berkata tekad politik beliau adalah setegas mungkin menolak rasuah dan penyelewengan malah tindakan tegas itu tidak disenangi pihak lain.

— BERNAMA


Pengarang :