Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari, N17 Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan N18 Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli di Pusat Penamaan Calon Gombak pada pilihan raya negeri di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Batu 7 Gombak pada 29 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM nasihat parti bertanding pilihan raya negeri kempen secara berhemah

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua parti yang bertanding pada pilihan raya di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu berkempen secara berhemah.

“Insya-Allah kita berkempen cara tersusun, sopan dan beradab,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi calon parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan di beberapa pusat penamaan calon hari ini.

Anwar berkata beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu hari ini.

“Alhamdulillah, proses semua baik, aman dan teratur, calon juga mengemukakan semua (dokumen) diperlukan dengan baik,” katanya.

Terdahulu Anwar yang diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir memberi sokongan kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di kawasan Parlimen Ampang, Gombak dan Selayang melibatkan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari dan Hajiji yang sudi bersama-sama beliau hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon PH-BN yang bertanding.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos ini bersama dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu.

– BERNAMA


Pengarang :