Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Piazza Pavilion Bukit Jalil pada 30 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM umum menteri baharu KPDN selepas PRN

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu akan diumum selepas pilihan raya negeri (PRN) yang sedang berlangsung di enam negeri selesai.

Anwar berkata beliau memerlukan masa untuk meletakkan pengganti Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

“Belum lagi, lepas PRN… bagi saya masa… saya fikir tidak terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Piazza Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini.

Buat masa ini, Anwar berkata beliau memberi tanggungjawab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali untuk memantau urusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau turut meminta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh untuk membantu Armizan menjalankan tugas di kementerian itu.

“Sementara ini, Armizan diberi tanggungjawab memantau dan menjalankan tugas. Fuziah pun dah faham betul (urusan KPDN).

“Jadi saya nampak tiada gangguan dan saya minta Armizan tumpu lebih sikit di kementerian ini,” katanya.

Portfolio kementerian itu sebelum ini diamanahkan kepada Salahuddin yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

Selama hayatnya, Salahuddin, 61, amat komited dalam memperjuang nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

– BERNAMA


Pengarang :