AGENDAJENAYAH

Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah nilai lebih RM14 juta

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi empat serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Khamis lepas.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Zin berkata ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 32 hingga 61 tahun itu ditahan antara 1.40 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai koordinator, pembekal dan penjaga kedai dengan modus operandi mereka menjadikan premis dan rumah kedai sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 56 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, 20 kg ketamin dan 154.3 kg ekstasi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM14.4 juta dirampas dengan jumlah rampasan itu boleh digunakan oleh seramai 861,335 penagih.

“Bagi pasaran di Sabah dan Sarawak, dadah berkenaan dibalut dengan bungkusan seperti barangan sabun basuh baju sebelum dihantar menggunakan khidmat kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain rampasan dadah, Mohd Kamarudin berkata pihaknya turut menyita empat kenderaan mewah antaranya sebuah BMW, Lexus dan Vios serta barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai hampir RM400,000.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Julai bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saringan awal polis terhadap suspek mendapati ketiga-tiganya negatif dadah dan semakan rekod jenayah mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata pihaknya akan meneruskan lagi siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan untuk dibawa ke muka pengadilan.

“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :