Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: Rakyat Selangor diseru pilih kerajaan stabil, terbukti berjaya

SHAH ALAM, 5 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat negeri ini menunaikan tanggungjawab untuk mengundi serta memilih kerajaan yang terbukti stabil, makmur dan berjaya.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) hari ini telah mengumumkan tarikh-tarikh penting sempena Pilihanraya Negeri Selangor dan lima negeri-negeri yang lain.

“Ayuh semua rakyat Negeri Selangor keluar mengundi bagi memilih kerajaan yang terbukti stabil, makmur dan berjaya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon bagi keenam-enam negeri pula ditetapkan pada 29 Julai, sementara pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media yang disiar secara langsung dari ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Sebanyak 36 kerusi bakal dipertanding di Kedah, Kelantan (45 kerusi), Terengganu (32 kerusi), Pulau Pinang (40 kerusi), Selangor (56 kerusi) dan Negeri Sembilan (36 kerusi).


Pengarang :