Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Puchong, Sabak Bernam antara sembilan lokasi jualan murah esok

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SHAH ALAM, 7 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan ke sembilan lagi lokasi esok.

Program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di Surau Al Firdaus Seksyen 4 (Parlimen Sungai Buloh); Masjid Sirajuddin Al-Annuar Kampung Batu Belah (Parlimen Bandar Baru Klang); Dewan Komuniti Fasa 3, Puncak Alam (Parlimen Kuala Selangor) dan Surau Al-Munawwarah, Taman Pinggiran Putra (Parlimen Puchong).

Program itu turut diadakan di Tapak Bazar Bandar Kinrara 5 (Parlimen Subang); Puteri Central Park, Tasik Puteri (Parlimen Selayang); Jalan Subang Mas 5, (Parlimen Shah Alam); Tapak Pasar Malam Kampung Baru Hicom, (Parlimen Kota Raja) dan Surau Kampung Batu 38 Baroh (Parlimen Sabak Bernam).

Orang ramai membeli barang keperluan asas di Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 24 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :