Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Rumah Selangorku dilengkapi kemudahan awam, tadika dibina di Subang

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 27 JULAI: Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL di Subang USJ1 menyediakan 715 unit kediaman dengan anggaran harga ditawarkan sekitar RM150,000 sehingga RM250,000.

Pengarah urusan TWL Holding Berhad berkata pembinaan pangsapuri itu termasuk 15,000 unit rumah mampu milik yang bakal direalisasi syarikatnya dengan nilai pembangunan kasar RM5 billion.

“Pangsapuri 30 tingkat menawarkan 415 unit di Blok A dengan keluasan 900 kaki persegi manakala Blok B menyediakan 70 unit (800 kaki persegi) serta 230 unit (900 kaki persegi).

“Selain blok parkir penduduk, projek ini juga turut menyediakan bilik peti surat dan kemudahan awam seperti surau, dewan serbaguna serta tadika,” kata Shirley Tan Lee Chin.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah pangsapuri berkenaan di sini hari ini. Majlis disempurnakan EXCO Perumahan Rodziah Ismail diiringi Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Dato Dr Juhari Ahmad.

Shirley menambah dengan matlamat menghasilkan rumah mampu milik secara efisien, pihaknya yakin projek perumahan tersebut dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat pada masa hadapan.


Pengarang :