Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Kampung Teladas pada 3 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air ditemui pagi ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Satu lagi mayat mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman ditemui di belakang Masjid Dadong di kawasan berkenaan sekitar 7.45 pagi tadi.

Mayat dipercayai remaja perempuan itu belum disahkan secara rasmi berikutan pengecaman mayat belum dibuat waris dan disahkan pihak berkuasa, lapor Berita Harian.

Ini menjadikan tujuh mayat ditemui setakat ini dengan tiga lagi mangsa masih hilang.

Semalam, empat mangsa ditemui dan disahkan waris iaitu Karim Abdullah, 39, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Pada Ahad, media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu.

Mayat pertama Azizah Eiyi, 40, ditemui sekitar 12.45 tengah hari kelmarin, diikuti mayat Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut sekitar 3 petang hari sama.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula hari ini.

 


Pengarang :