Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sedia bas percuma sejak 10 tahun, tidak tunggu musim pilihan raya

SHAH ALAM, 8 JULAI: Keutamaan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat tidak bermusim tetapi berterusan dan sepanjang masa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tidak perlu menunggu musim pilihan raya, Selangor telah menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada rakyatnya sejak 10 tahun dahulu yang sudah memanfaatkan 60 juta penumpang setakat ini.

“PAS gesa dengan kita negeri-negeri kena ikut Kelantan buat bas percuma untuk bawa pengundi balik, jangan kedekut.

“Saya nak beritahu Perikatan Nasional (PN) dan PAS, di Selangor bukan tunggu lima tahun sekali. Dah 10 tahun kita buat bas percuma, RM45 juta untuk rakyat dan digunakan oleh 60 juta penumpang sejak dimulakan,” katanya.

Beliau berucap dalam program pelancaran Jentera Perpaduan Selangor yang disempurnakan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Baru Bangi di sini, malam tadi.

Lebih 60 juta penumpang dicatat menggunakan Bas Smart Selangor sejak perkhidmatan percuma itu diperkenal pentadbiran negeri.

Menurut EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han sebanyak 166 bas disediakan ke 50 laluan dengan peruntukan tahunan RM45 juta.

Berita Harian semalam melaporkan, PAS mencadangkan kesemua enam negeri terbabit pilihan raya negeri (PRN) menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar supaya mereka dapat pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

Sebelum itu, Kelantan mengumumkan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institut pengajian tinggi untuk pulang mengundi pada PRN nanti.


Pengarang :