Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjanjikan peluang pekerjaan dan masa depan cerah kepada pelajar.
AGENSISELANGOR

Selangor hasrat perluas TVET ke sekolah menengah, lahirkan ramai tenaga mahir 

SHAH ALAM, 25 JULAI: Selangor berhasrat memperluas program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke sekolah menengah bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan hasrat itu selaras tindakan dibuat negara maju, yang turut membuka lebih banyak peluang pelaburan memasuki negeri ini.

“TVET selalu dianggap jurusan untuk peluang kedua sedangkan di negara-negara maju, mereka sediakan pelajar ini dari peringkat sekolah menengah.

“Selain kembangkan beberapa sektor pembuatan, kita akan mula masuk ke sekolah menengah supaya kita dapat bergerak ke arah menyediakan tenaga pekerja mahir,” katanya malam tadi.

Menjawab pertanyaan hadirin pada sesi pendengaran awam di sini, beliau mengakui insentif daripada Kementerian Pelaburan dan Kementerian Kewangan juga mampu menggalakkan pelaburan ke negara ini.

“Untuk maju ke depan, pelaburan ialah kayu ukur atau petunjuk penting selain aspek ketelusan serta integriti. Alhamdulillah, di Selangor kita sentiasa ingatkan hal ini malah mula dipraktikkan.

“Namun insentif besar datang daripada kementerian berkaitan. Di samping menyediakan kemudahan dan sumber tenaga kerja, aspek insentif ini akan tarik pelabur datang,” katanya.


Pengarang :