Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan portal khas PRN Selangor ketika Lawatan Rasmi dan Amanat Khas di Ibu Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lancar portal khas, papar perkembangan terkini PRN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) memperkenal portal khas, http://prnselangor.my sebagai rujukan orang ramai sempena pilihan raya negeri (PRN).

Portal yang pertama kali dibangunkan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dilancar secara rasmi oleh Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai media rasmi Selangor, MSSB berperanan mewujudkan sistem komunikasi berkesan bagi menghubungkan Kerajaan Negeri dan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Lawatan Rasmi dan Amanat Khas di Ibu Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Portal khas PRN ini bertujuan bukan sahaja untuk menyampaikan berita dan perkembangan terkini PRN tetapi juga projek perintis MSSB kepada pelaporan berdasarkan data dan analisis,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama kakitangan Media Selangor ketika Lawatan Rasmi dan Amanat Khas di Ibu Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Portal berkenaan menyediakan beberapa ciri seperti kemas kini keputusan secara langsung, maklumat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), statistik setiap DUN dan manifesto parti.

Ia turut dilengkapi fungsi analisis yang memaparkan perbandingan data bagi semua kerusi DUN Selangor, merangkumi maklumat seperti penyandang kerusi, jumlah dan demografi pengundi, pola pengundian serta sejarah pilihan raya.

Ia boleh diakses bermula hari ini yang mana orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai panduan mengundi serta semakan mengundi.


Pengarang :