Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua dari kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron (dua dari kiri) menunjukkan buku laporan penemuan Survei Pendapatan dan perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada 28 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor rekod pendapatan penengah, isi rumah kasar bulanan melebihi paras nasional

PUTRAJAYA, 28 JULAI: Selangor antara enam negeri merekodkan pendapatan penengah melebihi paras nasional iaitu RM6,338 tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 (HIES 2022) menunjukkan negeri itu mencatat pendapatan penengah RM9,983, pertumbuhan 6.5 peratus setahun bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Kuala Lumpur pula merekodkan pendapatan penengah RM10,234, Putrajaya (RM10,056), Labuan RM6,904, Johor (RM6,879) dan Pulau Pinang (RM6,502).

Selain itu, kaji selidik mendapati Selangor mencatat pendapatan isi rumah kasar bulanan melebihi paras nasional dengan RM12,233 iaitu kadar pertumbuhan tahunan tertinggi bagi tempoh 2019 hingga 2022.

HIES 2022 juga mendapati pendapatan daripada Pekerjaan Bergaji kekal menjadi sumber utama isi rumah di negara ini dengan menyumbang 62.8 peratus manakala Bekerja Sendiri (15.2 peratus), pendapatan daripada Harta dan Pelaburan (12.3 peratus) serta Pindahan Semasa Diterima (9.7 peratus).

Laporan HIES 2022 dibentang Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin di jabatan itu di sini hari ini, sambil disaksikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara meningkat kepada RM2,589 tahun lepas berbanding RM2,208 pada 2019.

“Konsep kemiskinan digunakan mengambil kira dua pecahan bagi setiap isi rumah iaitu PGK makanan yang ditentukan berdasarkan keperluan kalori individu dan ditukarkan kepada jumlah sajian kumpulan makanan.

“Manakala PGK bukan makanan ditentukan berdasarkan pola perbelanjaan kumpulan isi rumah terendah B20,” katanya.

Beliau turut memaklumkan secara purata isi rumah di negara ini berbelanja RM5,150 sebulan, meningkat 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2019 hingga tahun lepas.

Jelasnya komposisi corak perbelanjaan kekal bertumpu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, makanan dan minuman bukan alkohol, restoran dan hotel serta pengangkutan.


Pengarang :