Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Selangor sedia RM2 bilion urus masjid, senggara sekolah agama sejak 2018

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri giat memperkasa Islam dengan dana kira-kira RM2 bilion antara 2018 hingga 2023.

Pelbagai insentif, elaun, bantuan khas serta caruman melibatkan jutaan ringgit disalur kepada sektor pendidikan dan institusi dakwah termasuk sekolah agama, masjid dan surau.

Ribuan pelajar agama, pendidik, kakitangan serta penggerak masjid menikmati kekayaan negeri hasil keberkatan kepemimpinan diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sempena sambutan Maal Hijrah, Selangorkini memaparkan peruntukan itu, termasuk RM583 juta daripada Belanjawan 2023, yang disalur dalam tempoh tersebut:

  • RM105 juta setahun untuk pengurusan dan selenggara sekolah agama, masjid dan surau antara 2019 hingga 2022
  • RM185 juta untuk bina dan baik pulih 78 masjid dan 75 surau antara 2019 hingga 2022
  • RM20 juta atau RM4 juta setahun untuk urus masjid dan surau sejak 2018 hingga 2022
  • RM4.8 juta dalam Belanjawan 2023 lulus naik elaun 2,825 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Kafa Integrasi (Kafa-i) dan sekolah kepada RM1,500
  • RM13.4 juta insentif khas Aidilfitri kepada 34,339 penggerak masjid – nazir, imam, bilal hingga siak – antara 2019 hingga 2023


Berpuas hati dengan dana ini, pemimpin masjid memuji usaha Kerajaan Negeri memperkasa Islam dalam reaksi mereka pada 13 dan 14 Julai.

“Sangat bagus usaha Kerajaan Negeri. Dahulu elaun guru Kafa rendah. Elaun untuk imam masjid, bilal, tak seberapa. Tetapi semakin lama mendapat perhatian. Elaun Kafa dinaikkan kepada RM1,500. Alhamdulillah imam masjid, siak (juga) dapat peruntukan. Saya berharap ia berterusan. (Dana) makin lama makin naik untuk menjaga kebajikan dan agama.”

Mohd Nor Muazam Sehat, 35, imam Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam

 

“Bagus langkah Kerajaan Negeri memperkasa syiar Islam di Selangor. Satu langkah yang terpuji dan perlu dialu-alukan. Saya berharap peruntukan diberikan berterusan setiap tahun dan bukan sekadar ‘one-off’. Kalau boleh dipertingkat lagi setiap tahun.”

Ahmad Pauzi Mhd Nor, 64, nazir Masjid Al-Hidayah Seksyen 18, Shah Alam

 

“Ia langkah yang cukup bagus. Dalam meningkatkan syiar Islam, Kerajaan Negeri banyak melakukan perubahan, termasuk kerjasama erat (masjid) dengan ahli politik DUN dan ahli parlimen. Mereka dilihat turun padang. Sumbangan yang diberikan nampak telus dan perlu dipertingkat kepada masjid dan surau seiring dengan perubahan (prestasi) ekonomi negeri yang tinggi.”

Mohamad Amiruddin Sarmany, 50, nazir Masjid Ubudiyah Seksyen 19, Shah Alam


Pengarang :