Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) melakukan gimik prapelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tubuh yayasan anak istimewa, bantu sejahterakan OKU

SHAH ALAM, 27 JULAI: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dilancar tahun ini dengan kos RM4 juta bagi memberi khidmat terbaik dan mensejahterakan golongan kurang upaya (OKU).

Dato’ Menteri Besar berkata agensi tersebut bertanggungjawab melihat pembangunan dan keperluan golongan istimewa secara menyeluruh supaya tindakan tepat dapat dilakukan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya turut menambah RM1 juta setiap tahun selama lima tahun bagi membolehkan yayasan berkenaan menjalankan program tertentu.

“Walaupun jumlah mereka (OKU) hanya lima peratus maksimum dalam kalangan komuniti, namun kita perlu bertanggungjawab supaya tiada golongan yang tersisih atau tertinggal di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anis di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita mahu beri peluang kepada semua golongan dan peringkat tanpa mengira sesiapa, agama, bangsa, keturunan dapat menikmati kemakmuran negeri,” katanya pada majlis prapelancaran YANIS hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata yayasan tersebut akan menyokong kesinambungan inisiatif bawah skim Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang dikhaskan kepada golongan OKU.

Beliau menjelaskan YANIS akan melakukan program pemberdayaan melalui Pusat Sokongan Pendidikan Awal dan prasekolah ANIS selain mempergiat program Inisiatif Saringan Awal.

“Kita turut mengendalikan siri pengajian, latihan intensif serta kursus bagi mempercepatkan penglibatan OKU dalam pelbagai bidang,” katanya.


Pengarang :