EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berucapa pada program Kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di Tapak Parkir Pasaraya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Separuh dana RM2.24 juta diguna baik pulih, bina kemudahan sukan baharu

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor sudah membelanjakan separuh daripada RM2.24 juta peruntukan baik pulih kemudahan sukan bagi tujuan itu tahun ini .

EXCO sukan berkata naik taraf termasuk pembinaan baharu membabitkan padang bola sepak, gelanggang futsal, bola tampar, sepak takraw dan badminton seluruh negeri mengikut keperluan setempat.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan perbelanjaan paling besar dikeluarkan bagi pembaikan padang bola sepak dengan kos mencecah RM200,000 berbanding kemudahan lain.

“Kerja baik pulih kemudahan sukan bergantung kepada permohonan dan peruntukan yang diluluskan juga melihat keadaan infrastruktur itu sendiri.

“Kalau kos (baiki) gelanggang bola tampar, badminton dan sepak takraw itu tidaklah sebesar padang bola sepak atau futsal,” katanya ditemui di tapak parkir Econsave Paya Jaras, Sungai Buloh di sini hari ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman beramah mesra dengan peserta Kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di Tapak Parkir Pasaraya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bercakap selepas merasmikan program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Paya Jaras turut memaklumkan lebih 200 gelanggang seluruh negeri dibaiki dan dibina semula dalam tempoh lima tahun.

“Matlamat kita mudah sahaja, kita tidak mahu belia Selangor tiada tempat beriadah dan bersukan yang menjadi kegiatan seharian mereka,” katanya lagi.

Belanjawan negeri 2023 memperuntuk RM2.24 juta bagi meneruskan projek membaik pulih dan membina baharu infrastruktur sukan di Selangor.

Usaha itu selaras memartabat aspek pembangunan sukan dan aktiviti sihat sekali gus melahirkan generasi muda yang aktif serta berdaya saing.


Pengarang :