Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Tindakan jika masjid, surau jadi medan sebar propaganda politik parti

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini mengingatkan pentadbir masjid dan surau untuk tidak menjadikan rumah ibadat berkenaan sebagai medan propaganda dan politik kepartian.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang disampaikan menerusi mimbar Jumaat hari ini turut berpesan pihak yang ingkar berdepan tindakan bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana melanggar titah Baginda serta ketetapan Majlis Agama Islam Selangor.

Khutbah bertajuk Dosa mengumpat dan mencaci turut mengingatkan pegawai yang terlibat dengan perkara itu boleh dibatalkan pelantikannya mengikut Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

“Sebarang bahan penerbitan berunsur politik tidak boleh dibiarkan tersebar di kawasan masjid serta surau apatah lagi membenarkan tokoh-tokoh politik menggunakannya untuk tujuan kepartian.

“Masjid serta surau adalah zon aman dan bebas daripada sebarang elemen serta pengaruh politik kepartian demi memelihara keharmonian umat Islam yang mengerjakan ibadah di masjid dan surau,” menurut khutbah itu lagi.

Khutbah sama turut berpesan kepada seluruh umat Islam bahawa pilihan raya bukan lesen melanggar syarak, hukum-hakam dan undang-undang.

Teks penuh khutbah terbitan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor boleh diperoleh menerusi pautan http://e-masjid.jais.gov.my/

 


Pengarang :