Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Ihya’ Ulumuddin) Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Talaqqi Kitab Turath diteruskan hari ini, hurai ciri mukmin bersifat munafik

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami diteruskan hari ini dengan bacaan zikir khas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, yang disertai kira-kira 100 jemaah.

Turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhammad, program disusuli kuliah duha oleh tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni.

Menerusi pengajian itu, ahli jawatankuasa fatwa Persatuan Ulama Pattani menghuraikan ciri-ciri mukmin bersifat nifaq atau menzahirkan keimanan di lidah dan menyembunyikan kekufuran dalam hati.

“Kelakuan orang munafik tidak elok, dia buat-buat (menzahirkan iman di lidah) sampai orang awam tidak kenal. Berbeza dengan mukmin sebenar, rupanya nampak nur dan berseri.

Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Ihya’ Ulumuddin) Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mereka (orang munafik) juga tidak mengerti pada agama, tiada fiqh pada agama dan tiada ilmu bermanfaat. Jelas sekali Nabi Muhammad SAW kata dua perkara ini,” katanya.

Semalam, Baba membuka tirai majlis di masjid sama dengan menyampaikan kuliah duha dan maghrib.

Dijadual berlangsung sehingga Rabu, program keagamaan itu merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang mula dianjurkan 20 Mei lalu.

Festival itu dianjur sempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :