Suasana sekitar Tasik Sanktuari Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tasik Sanktuari di Unisel dinaik taraf pusat riadah, dilengkapi CCTV

KUALA SELANGOR, 16 JULAI: Kemudahan asas sekitar Tasik Sanktuari di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya di sini, bakal dinaik taraf bagi menggamit kedatangan pengunjung.

Presiden dan naib canselornya berkata pembaikan infrastruktur di tasik seluas 150 ekar yang terbiar sejak dua dekad lalu melibatkan pembinaan tandas, gazebo dan kemudahan perkhemahan.


16. Presiden UNISEL Profesor Dato Dr Mohammad Redzuan Othman ketika Larian Tasik Sanktuari 2023 di perkarangan Smart Tahfiz Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman turut memaklumkan projek pengindahan meliputi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak pencerobohan selain lampu solar di trek larian demi keselamatan pengunjung.

“Perancangan melengkapkan infrastruktur di tasik ini dianggar menelan RM1 juta. Kita harap dapat sokongan Kerajaan Selangor dan mana-mana pihak yang melihat projek ini sebagai satu keperluan untuk orang ramai.

“Dengan cara itu, kita yakin lebih ramai masyarakat luar dapat melihat keindahan tasik ini kerana ia merupakan tarikan baharu, apatah lagi Selangor negeri yang kaya dengan pelbagai keindahan alam,” katanya di sini hari ini.

Ditemui sempena program Larian Tasik Sanktuari, beliau menjelaskan projek pengindahan tasik mula dilaksana sejak tiga tahun lalu secara berperingkat dan memerlukan tempoh panjang berikutan kawasan terbabit berpaya dan dipenuhi rumput.

“Sebelum ini banyak pencerobohan berlaku di tasik berkenaan tetapi setelah kita menguasai kawasan itu, kerja pengindahan dijalankan beransur-ansur dengan kos paling minimum.

“Tasik ini sudah dibuka kepada umum sejak Mei. Sebab itu kita rasa perancangan seterusnya menyediakan kemudahan asas yang dianggap perlu dan disegerakan,” katanya lagi.

Suasana sekitar Tasik Sanktuari Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

 


Pengarang :