Penyokong kerajaan perpaduan menjulang calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri selepas proses penamaan calon di Dewan Pelabuhan Klang Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada 29 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tekad terus naik taraf kemudahan DUN Pelabuhan Klang

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 31 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) tekad memastikan infrastruktur Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang terus dinaik taraf jika sekali lagi terpilih pada pilihan raya negeri (PRN).

Azmizam Zaman Huri yang juga anak jati kawasan itu yakin rakyat bijak menilai kewibawaan beliau sepanjang ‘membela’ nasib penduduk.

“Terdapat banyak projek penyediaan infrastruktur telah dan sedang dijalankan demi memberi manfaat serta kesenangan masyarakat setempat.

“Saya berharap pengundi masih memberi peluang untuk saya mengekalkan kerusi ini kerana bimbang sekiranya diberi kepada calon lain kerja yang sudah mendapat kelulusan ini terhenti tidak dilaksana,” katanya.

Azmizam menambah usahanya membuka Pusat Khidmat Rakyat yang satu-satunya beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja akan diteruskan memandangkan ia adalah khidmat untuk masyarakat.

“Saya akan teruskan waktu perkhidmatan itu kerana ia adalah ‘lokasi’ masyarakat untuk terus berhubung dengan wakil rakyat.

“Tiada istilah penat dan lelah dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin kawasan memandangkan saya yakin rakyat bijak menilai siapa yang mereka pilih untuk memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Beliau juga bercadang mahu mengetengahkan cadangan untuk membina sekolah menengah di Telok Gong berikutan tiada institusi itu di kawasan tersebut selama ini.

Azmizam berdepan saingan tiga penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN) Wan Hasrina Wan Hassan dan Syed Ahmad Putra Syed Isa dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

 


Pengarang :