Logo pengeluar kenderaan elektrik Tesla Inc dilihat di pejabat cawangannya di Bern, Switzerland, pada 28 Oktober 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tesla buka pejabat di Selangor tahun ini, bukti pelabur yakini pentadbiran negeri

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 14 JULAI: Syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc milik Elon Musk bakal membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata kemasukan syarikat milik Elon Musk membuktikan keyakinan komuniti pelabur asing terhadap pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor ( IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc. yang akan membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.

“Antara lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tapak adalah di daerah Petaling serta Sepang dan pejabat daerah serta pihak berkuasa berkaitan sedia memudah cara dan menyelaraskan proses kemasukan pelaburan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Tambah Amirudin kemasukan syarikat itu juga dilihat mampu meningkatkan keinginan generasi muda mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih.

“Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van.

“Perkembangan ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara sekali gus menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada rakyat Selangor khususnya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendakan mengadakan persidangan video bersama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk pada 14 Julai 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Syarikat kenderaan elektrik utama itu membuat keputusan melabur di Selangor hasil pertemuan dan perbincangan ketua pegawai eksekutifnya Elon Musk bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Turut serta dalam persidangan video bersama Musk ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Pertemuan maya itu bermula 9.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira 25 minit antara lain turut membincangkan hasrat meningkatkan capaian internet dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.


Pengarang :