Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada cadangan tutup sekolah agama, negeri giat perkasa pendidikan Islam

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Selangor tidak sesekali bercadang menutup mana-mana sekolah agama atau pusat tahfiz di negeri ini, sebaliknya berusaha memperkasa sistem pendidikannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor memiliki sekolah agama paling banyak di Malaysia yang bilangannya kian berkembang iaitu lebih 20,000 pelajar ketika ini.

“Kita ada lebih 400 sekolah agama dan pusat tahfiz, yang terbanyak di Malaysia. Kita juga ada sekolah menengah agama yang cukup banyak termasuk sekolah swasta.

“Walaupun ada suara-suara yang mempertikai kononnya kita mahu halang dan tutup, setakat yang saya semak tiada satu pun notis tutup yang diberi,” tegas beliau.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama sebahagian pendidik selepas penyampaian Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin juga menambah pentadbiran negeri mahu memastikan sekolah agama dan pusat tahfiz memenuhi keperluan asas khususnya berkaitan aspek keselamatan pelajar.

“Jangan tutup sebelah mata hal keselamatan. Saya dididik dengan usul fiqh iaitu selepas jaga agama, kita perlu menjaga nyawa,” tegas beliau lagi.

Beliau menjelaskan usaha memperkasa institusi itu dibuat melalui Pendidikan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) khas serta program ‘Fast Track Peperiksaan SPM’ kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bulan lalu, tempoh pendaftaran kepada 55 sekolah agama persendirian dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga tahun depan bagi mereka memenuhi syarat operasi khususnya isu keselamatan.


Pengarang :