Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik Najwan Halimi berucap pada majlis pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto Facebook Najwan Halimi
AGENDANASIONAL

Yakin rakyat bijak buat pilihan, kekalkan HARAPAN susulan prestasi cemerlang

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pengundi diyakini akan membuat pilihan bijak dengan mengekalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor berdasarkan prestasi cemerlang gabungan itu.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik turut yakin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan menambah marojiti kemenangan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi

“Saya yakin HARAPAN akan mengekalkan kemenangan termasuk di DUN Kota Anggerik dan tambah majoriti kita hasil daripada kerjasama peringkat persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Menerusi kerjasama ini, BN akan membawa penyokong dan pengundi mereka sekali gus melonjak majoriti berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya Najwan Halimi.

Bercakap ketika ditemui selepas majlis pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya di Pusat Khidmat DUN Kota Anggerik malam tadi, Najwan berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada kerja kerasnya menyelesaikan masalah penduduk selain menyantuni dan memenuhi keperluan mereka sepanjang menjadi wakil rakyat.

Suasana pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu Najwan turut membidas naratif yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) yang sering memburukkan HARAPAN untuk mengeliru pengundi dengan fakta tidak benar selain menenggelamkan kejayaan pentadbiran yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“ Pengerusi PN Selangor Dato’ Seri Azmin Ali kata jika PN menang mereka ingin bawa perubahan di Selangor sedangkan masa beliau jadi Dato’ Menteri Besar dahulu, prestasi beliau merosot, pelaburan menjunam kerana banyak berbelanja tetapi tiada hasil,” katanya.

Laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menunjukkan sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022, bertambah lebih baik daripada 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 11.9 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.


Pengarang :