Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 27 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Yayasan Selangor salur RM467,000 perkasa pendidikan dari sekolah rendah

SERDANG, 27 JULAI: Yayasan Selangor memperuntuk sejumlah RM467,000 bagi program pemerkasaan pendidikan tahun ini bermula dari sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM247,000 diagihkan kepada 93 sekolah bawah program rancangan khas, pelajar berpotensi tinggi, kolej tingkatan enam dan sumbangan komputer riba buat 77 pelajar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, baki RM220,000 pula disalurkan bagi pengecualian penuh bayaran balik pinjaman 10 pelajar cemerlang tajaan Yayasan Selangor.

“Peruntukan ini untuk program pemberdayaan dan pemerkasaan institusi terlibat demi lonjakan taraf pendidikan yang bersifat menyeluruh merangkumi segenap aspek,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Turut disampaikan pada majlis berkenaan ialah surat tawaran ke program pensijilan profesional Chartered Institute of Management Accountant (CIMA) kepada enam pelajar tajaan Yayasan Selangor.

 


Pengarang :