Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan, Nur Mohd Razali Abdullah (dua, kanan) menunjukkan replika model projek pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah di ibu pejabat Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada 10 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yide perlu lagi RM5 juta bangun kompleks anak yatim Pulau Indah

SHAH ALAM, 16 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memerlukan RM5 juta lagi dana bagi menjayakan pembangunan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Dato’ Sri Muhamad Khanafi Hussin berkata RM9 juta telah dikutip melalui sumbangan syarikat korporat dan individu setakat ini.

Beliau menjelaskan kempen dan aktiviti terus dipergiat bagi memastikan sasaran RM14 juta tercapai misalnya Kejohanan Golf Amal dan Malam Agungnya Cinta yang dijadual pada September.

“Setakat ini RM5 juta dana diperoleh daripada Central Spectrum (M) Sdn Bhd iaitu pemilik asal tanah manakala selebihnya syarikat korporat dan penginfaq sama ada dari Selangor atau luar.

“Sumbangan itu terus dimasukkan ke akaun Yide. Insya-Allah selagi tidak cukup kita akan terus berkempen supaya pembinaan kompleks ini dijayakan sebaiknya,” katanya kepada Selangorkini.

Muhamad Khanafi berkata pembinaan kompleks dimulakan sejak 25 Jun lepas dengan kontraktor diberi tempoh dua tahun untuk melaksanakan kerja berkaitan atas tanah milik Perbadanan Wakaf Selangor seluas 3.4 ekar.

Sejurus siap, beliau memaklumkan kompleks bakal dilengkapi kemudahan seperti surau, padang bola sepak dan bilik aktiviti mampu memuatkan seramai 200 anak yatim.

“Kalau projek itu siap lebih awal kita boleh segera tempatkan anak-anak yatim di sana. Kompleks itu dijadikan asrama sahaja dan mereka masih bersekolah di kawasan berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, Yide memaklumkan akan mengenal pasti anak yatim yang berpotensi diserap ke kompleks itu berikutan terdapat 9,000 anak yatim bawah seliaannya.


Pengarang :