Pelajar sekolah dan universiti di Parlimen Ampang menerima pinjaman komputer riba dan komputer meja (desktop) menerusi Program Pinjaman Laptop dan Desktop Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 23 Ogos 2023. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
AGENSISELANGOR

16 pelajar terima pinjaman laptop, bantu pembelajaran digital

SHAH ALAM, 27 OGOS: Seramai 16 pelajar di Parlimen Ampang peringkat sekolah dan universiti menerima pinjaman komputer riba dan komputer meja (desktop) secara percuma.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail memaklumkan ia menerusi Program Pinjaman Laptop dan Desktop anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Terima kasih PPAS kerana menyediakan inisiatif ini untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

“Program ini dapat bantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan saya harap usaha ini dapat diteruskan bagi membantu mereka,” katanya di Facebook hari ini.

Rodziah berkata pihaknya sedia membantu dan mengalu-alukan mereka yang memerlukan perkakasan itu untuk datang ke Pusat Khidmat Parlimen Ampang dan memohon bantuan.

“Kalau ada masalah untuk miliki perkakasan berkaitan digital sama ada ‘laptop’ atau ‘desktop’ boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Parlimen Ampang atau terus kepada PPAS untuk mohon.

“Apa yang penting kita tidak mahu mereka tertinggal dalam bidang digital dan terus mundur dalam banyak perkara,” katanya.

PPAS sebelum ini memaklumkan program pinjaman laptop dan desktop akan dilaksanakan di 50 perpustakaan awam Selangor terpilih untuk dipinjamkan kepada masyarakat.


Pengarang :