Pelajar Management Science University (MSU) bergambar kenangan selepas menjayakan projek Komuniti Servis membersih dan menanam anak pokok di Taman Rekreasi Mangrove Point, Klang pada 16 Ogos 2023. Foto Facebook Selangor Maritime Gateaway
AGENSISELANGOR

185 pelajar MSU bersih taman rekreasi paya bakau di Klang

SHAH ALAM, 27 OGOS: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) menghargai komitmen 185 penuntut Management Science University (MSU) membersih Taman Rekreasi Mangrove Point, Klang bagi memelihara lokasi ekopelancongan.

Menerusi projek Komuniti Servis dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah Pantai Klang, pelajar terbabit mengeluarkan 510 kilogram sampah selain menanam 150 anak pokok bakau bagi mengindahkan kawasan itu.

Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) menerusi Facebook memaklumkan program itu mampu memupuk kesedaran kepada pelajar berhubung kepentingan dan cabaran memelihara hutan paya pakau.

“Berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka atas usaha ini. Kerja keras anda membersihkan sampah dan menanam anak pokok bakau sangat dihargai.

“Kami harap anda semua menikmati pengalaman ini. Kami percaya usaha ini dapat memastikan kelangsungan peranan hutan paya bakau yang merupakan ekosistem penting demi generasi akan datang,” katanya.

Pelajar Management Science University (MSU) membersihkan kawasan sekitar Taman Rekreasi Mangrove Point, Klang melalui projek Komuniti Servis pada 16 Ogos 2023. Foto Facebook Selangor Maritime Gateaway

Taman Mangrove Point dilengkapi laluan pejalan kaki sepanjang satu kilometer, yang membolehkan pengunjung menerokai keindahan hutan paya bakau yang subur di sepanjang Sungai Klang.

Lokasi yang dibangunkan menerusi projek SMG diiktiraf Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dalam Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia menerusi kategori Analisis dan Kajian Landskap pada 2019.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan taman yang dibangunkan dengan kos RM10 juta itu dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain aktiviti memancing.


Pengarang :