Penumpang menyaksikan pesawat Malaysia Airlines mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 27 Julai 2014. Foto AFP
AGENDANASIONAL

199 penumpang MH122 dipindahkan ke penerbangan seterusnya

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH122 akan dipindahkan ke penerbangan seterusnya selepas mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa.

Terdahulu, penerbangan itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik pada pertengahan penerbangan kerana ada penumpang yang mencetuskan ‘gangguan’.

Malaysia Airlines dalam kenyataan pada 5.55 petang tadi memaklumkan penerbangan berkenaan membawa 199 penumpang dan 12 anak kapal.

“Penumpang yang mencetuskan ‘gangguan’ itu telah ditahan oleh polis tempatan. Penumpang dan anak kapal telah selesai keluar dari pesawat pada 7 malam. Pesawat itu akan diperiksa secara menyeluruh oleh polis.

“Malaysia Airlines ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa atas maklum balas segera dan kepada penumpang kerana kekal tenang dan memberikan kerjasama semasa keadaan getir. Keselamatan dan keselesaan anak kapal serta penumpang amat penting kepada kami,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penerbangan terbabit membawa 194 penumpang dan lima anak kapal dan demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk kembali ke Sydney sebelum mendarat dengan selamat pada 3.47 petang waktu tempatan.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan media memaklumkan seorang penumpang lelaki berusia 45 tahun yang didakwa mencetuskan ‘gangguan’ itu telah ditahan tanpa sebarang insiden dan dijangka didakwa lewat malam ini.

– BERNAMA


Pengarang :