Pelajar membaca ayat suci Al-Quran majlis khatam hafazan ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke – 15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

50 maahad tahfiz di Selangor didaftar, lagi 300 dalam fasa dua

SHAH ALAM, 17 OGOS: Hampir 50 maahad tahfiz persendirian didaftar penuh selaras garis panduan pemutihan sekolah agama, yang dikuat kuasa Kerajaan Negeri mulai 1 Januari 2021.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) Mohamad Hafiz Haneefa berkata pendaftaran 300 pusat tahfiz dan sekolah agama akan dibuat secara berperingkat dalam fasa dua.

“Kini kita ada lebih 100 maahad (didaftar penuh). Berbaki 300 (maahad tahfiz) termasuk sekolah agama persendirian dalam 200,” katanya menerusi video di Instagram.

“Alhamdulillah Pitas termasuk Gabungan Sekolah Islam Selangor bersama semua pihak berkuasa tempatan setuju untuk masukkan semua sekolah agama dalam fasa dua program pemutihan.”

Beliau turut berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan agensi berkaitan yang mewujudkan garis panduan bagi melancarkan operasi institusi berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad Hafiz mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam.

“Sekiranya ada isu boleh hantar mesej peribadi kepada saya pu_hafiz. Saya harap semua dapat sabar dan bertenang. Doakan program pemutihan berjalan lancar,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, usaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.


Pengarang :