Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM7 juta untuk pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

65,000 anak Selangor nikmati manfaat tuisyen percuma negeri

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 65,000 anak Selangor menikmati manfaat tuisyen percuma negeri ketika ini sejak ia diperkenalkan pada 2010.

Dato’ Menteri Besar berkata RM7 juta diperuntukan tahun lalu bagi menjayakan program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) selain pelajar turut diberi makan tengah hari percuma.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahbaikan program berkenaan dibuat bagi memastikan kebajikan pelajar di negeri ini sentiasa terjaga.

“Ketika PTRS diperkenalkan (2010), seramai 6,500 anak negeri diberi tuisyen percuma dengan peruntukan sekitar RM6 juta.

“Kini 65,000 anak negeri menikmati tuisyen percuma dengan dana yang hampir sama jumlahnya,” katanya di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Amirudin berkata kira-kira 200,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah disasar menerima manfaat program tuisyen percuma negeri dalam tempoh lima tahun.

Sasaran itu antara tawaran Kerajaan Perpaduan Selangor menerusi manifesto Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad untuk 5 Tahun yang turut diperluaskan kepada sekolah rendah dan menengah rendah.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengumumkan memperuntuk lebih RM10 juta kepada pelajar dan sekolah bagi memperkasa sektor pendidikan negeri.

Ia merangkumi pelaksanaan PTRS, bantuan Kembali Ke Sekolah selain sumbangan infrastruktur sekolah.


Pengarang :