Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama barisan calon HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) mengangkat tangan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 di Hotel Wyndham, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Terima kasih rakyat, tekad kerja lebih kuat, beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Ahli dewan negeri berterima kasih kepada rakyat kerana memberikan mandat sekali lagi pada pilihan raya negeri semalam dan bertekad bekerja lebih kuat.

Wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim berkata beliau bersyukur diberikan mandat sekali lagi oleh penduduk untuk terus membangunkan kawasan itu supaya lebih maju.

“Saya tidak ambil mudah saingan lawan dan hanya bersandarkan khidmat lima tahun sebelum ini. Alhamdulillah, masih kekal bersama Pandan Indan dengan strategi kempen yang baik dan sokongan perpaduan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ditemui selepas merasmikan Pesta Memancing Bagan Lalang di Jeti Sirip Biru, Sepang pada 24 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGROKINI

“Ini satu pencapaian besar dan terima kasih kepada pengundi. Saya tidak akan sia-siakan mandat diberikan dan akan laksana tugas dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, ADN Kinrara Ng Sze Han berkata beliau akan terus menjalankan kerja seperti biasa seperti sebelum ini dengan berkhidmat kepada penduduk tanpa berkecuali.

“Saya memperoleh majoriti yang sangat besar dan paling tinggi di Malaysia. Bagi saya, mendapat majoriti tinggi bermaksud tanggungjawabnya lebih berat dalam membela nasib rakyat.

“Namun, saya tetap memberi perkhidmatan terbaik dan akan teruskan usaha membangunkan DUN Kinrara. Kemenangan ini adalah hasil daripada perpaduan bersama sahabat baru kita, Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bercakap kepada media selepas perasmian Seminar Asrama Pekerja Mendukung Bandar Berdaya Saing Negeri Selangor di Hotel Premiere, Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 22 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail pula menyifatkan kemenangan yang diperoleh itu adalah bukan untuk dirinya, sebaliknya hadiah kepada rakyat di kawasan itu.

“Saya berazam untuk meningkatkan prestasi berbanding sebelum ini dengan memfokuskan pembangunan dan meningkatkan taraf ekonomi setempat.

“Jika sebelum ini berada di blok pembangkang, kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Sudah pasti kelebihan yang ada ini akan digunakan demi kebaikan rakyat,” katanya.

Temu bual Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail di Pusat Khidmat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan gabungan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional Selangor menang 34 daripada 56 kerusi sekali gus kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.


Pengarang :