OLEH FHATIHAH ZAKINAN
BANGI, 11 OGOS: Pemuda Amanah Bangi dan Pergerakan Pemuda Umno Bangi membuat laporan polis berhubung risalah palsu berkaitan calon Sungai Ramal, Mazwan Johar yang diedarkan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, sejak kelmarin.
Mazwan ketika ditemui berkata, risalah palsu itu hampir menyamai risalah asal bahan kempen pihaknya, tetapi dengan kandungan berniat jahat, menghasut dan memfitnah dirinya.
“Rekaan risalah (palsu) itu jika sekali imbas, persis seperti risalah yang asal (calon) tetapi kandungannya seolah memfitnah diri saya, menyatakan tuduhan menggambarkan saya sebagai seorang jahat, berperibadi buruk.
“Peliklah, ada risalah (palsu) daripada parti saya, menentang saya sendiri (tetapi kandungan fitnah). Itu kempen secara gelap dan jahat,” kata Mazwan kepada SelangorKini.
Beliau ditemui pada program ziarah mantan Pengerusi Persatuan Bandar Baru Bangi (BBB), Dr Tajul Ariffin Noordin, di sebuah kediaman di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, di sini semalam.