Ketua Angkatan Muda KEADILAN Adam Adli Abd Halim berucap ketika ceramah Pentas Perpaduan N16 Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak muda diseru pilih pemimpin tertib, hormat orang lain

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 6 OGOS: Anak muda dinasihatkan memilih pemimpin yang tertib dan menghormati orang lain sebagai peneraju negeri atau negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata golongan itu juga diingatkan tidak terpengaruh dengan pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu bekerja.

“Ya, memang kamu tengok orang-orang ini macam seronok sahaja dan nampak sempoi serta pandai buat lawak sampai hina negeri Selangor, Menteri Besar Selangor dan Sultan.

“Nak angkat sebagai pemimpin angkat orang yang ada tertib, yang nak buat kerja dan ada rasa hormat pada orang lain kerana kalau dia tak hormat pada orang lain, dia takkan hormat pada rakyat dia sendiri,” kata Adam Adli Abd Halim.

Timbalan menteri belia dan sukan itu berkata demikian dalam ceramah di Pentas Perpaduan Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves malam tadi.

Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak ketika ceramah Pentas Perpaduan Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Adam Adli yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya menegaskan pemimpin yang tidak menghormati rakyatnya tidak akan peduli kesusahan mereka.

“Dia boleh cerita dia datang daripada keluarga susah. Ramai orang datang daripada keluarga susah juga tapi tak ada yang peragai macam itu,” tambahnya dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada 18 Julai lalu, Muhammad Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan dibenarkan ikat jamin RM5,000.


Pengarang :