AGENDAJENAYAH

Anggota Rela rebah ketika perbarisan, disahkan meninggal dunia di hospital

SEREMBAN, 31 OGOS: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira 10 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222.

– BERNAMA


Pengarang :