Tiga daripada tujuh bayi merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 2023 nyenyak tidur dengan dibaluti Jalur Gemilang di Hospital Shah Alam, Selangor. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Anggota tentera syukur, gembira lahir bayi merdeka

SHAH ALAM, 31 OGOS: Anggota tentera, Sarjan Siti Mariam Ali gembira kerana melahirkan bayi keempatnya pada hari merdeka di sini hari ini.

Kakitangan Kor Kesihatan Diraja (KKD) di Pangkalan Udara Subang itu berkata beliau dan suami Sarjan Sumail Gilada, 40, tidak menyangka bayi mereka dilahirkan pada tarikh bersejarah kerana beliau dijangka bersalin 19 September ini.

“Saya jangka mungkin bersalin awal seminggu atau sebagainya, tidak jangka bayi keluar seawal ini, Alhamdulilah segala urusan dipermudahkan.

“Memandangkan saya dan suami kedua-duanya anggota tentera, saya sangat bangga dapat lahirkan anak merdeka. Saya berharap dia menjadi anak yang berguna untuk bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui di wad bersalin Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Siti Mariam, 41, melahirkan anak lelakinya itu pada 12.17 tengah malam, setelah masuk ke dewan bersalin pada jam 10 malam dan selamat melahirkan bayi seberat 2.2 kilogram secara normal.

Setakat 2 petang tadi, lapan bayi iaitu enam lelaki dan dua perempuan dilahirkan pada hari ini di Hospital Shah Alam.

Terdahulu, Yayasan Kita Anak Malaysia hadir menyampaikan sumbangan hamper barangan bayi dan meraikan bayi merdeka di hospital berkenaan.

Pengarah Urusannya Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata pihaknya berterima kasih dengan pihak hospital, kerana memberi ruang kepada mereka untuk meraikan bayi yang dilahirkan pada Hari Kebangsaan ke-66, hari ini.

“Hari ini, kita menyerahkan hamper barangan bayi untuk ibu yang melahirkan bayi merdeka di Hospital Shah Alam. Kita juga ada menyediakan kelengkapan untuk petugas dan jururawat di wad bersalin ini, kerana kita yakin pasti ada lagi ibu melahirkan anak hari ini.

“Objektif utama program ini bertujuan menyemai semangat kemerdekaan terutama bagi generasi masa depan dan mencintai tanah air,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :