Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut meriah oleh lebih 1,000 penyokong sebaik tiba di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat sempena ceramah Jelajah Perpaduan PMX @ Tanjung Sepat pada 1 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru rakyat turun mengundi, buat pilihan tepat demi kestabilan politik

SEPANG, 2 OGOS: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menyeru pengundi Selangor menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka perlu membuat pilihan bijak yang menjamin kestabilan politik dan masa depan rakyat.

“Mesti keluar undi. Jangan main-main. ‘You’ silap satu, ‘you’ jadi Kedah. ‘You’ silap undi ‘you’ jadi Kelantan.

“Apa Anwar buat (semua) sudah betul? Tidak. (Jika) ada (kelemahan) anda mahu baiki, kita baiki. Saya terima tetapi jangan buat silap (semasa mengundi).

“Pilihan raya ini kita mesti cuba bagi ‘knock out’. Kalau (mereka) cakap soal kaum, bagi gaduh Melayu, Cina, India, kita bagitahu kita mahu politik yang boleh selamatkan rakyat,” kata perdana menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah jelajah perpaduan PMX@Tanjung Sepat di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat di sini, malam tadi.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya kini stabil selain mendapat majoriti besar di Parlimen.

“Ingat senang ke saya mahu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN)? Tidak senang tapi kita fikir jauh, dulu gaduh tidak apa sekarang kita mahu jaga dan selamatkan semua kaum dan rakyat maka kita sepakat.

“Sebab ini kerajaan stabil (banyak pelaburan masuk) ekonomi stabil dan kita punya pertumbuhan suku tahun pertama lebih tinggi dari China, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

“Inflasi juga rendah, pengangguran menurun. Tapi adakah kita puas hati? Tidak, kita mesti kerja kuat lagi bawa pelaburan,” katanya.

 


Pengarang :