Ciptaan ‘Roller Batas’ oleh Guru Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 berjaya memenangi Anugerah Emas Kategori Inovasi Terbuka (Guru) pada 9 dan 10 Ogos 2023. Foto Facebook Jabatan Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Bantu murid kuasai jawi lebih cepat dengan kaedah baca pantas

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 23 OGOS: Guru Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 (SRAI S19) memperkenalkan ‘Roller Batas’ atau ‘baca pantas’ dalam membantu murid membaca rumi dan jawi dengan lebih cepat serta konsisten.

Inovasi itu turut membantu meningkatkan keyakinan murid untuk membaca dan membina ayat secara tersusun serta pemilihan bahasa yang lebih interaktif.

“Seminar Antarabangsa Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM (K-MANIS) ini menjadi medan perkongsian dan pencambahan ilmu khususnya dalam bidang Sains, Matematik, Kejuteraan dan Teknologi (STEM).

“Ciptaan seperti Roller Batas ini membolehkan pelajar menilai secara kendiri kemahiran menyebut, membaca dan menulis ayat mudah serta ayat majmuk,” kata kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Facebook.

Seminar K-SEMANIS dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD Klang) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu berlangsung 9 dan 10 Ogos lalu di UiTM Puncak Alam.

Dalam seminar tersebut, ciptaan ‘Roller Batas’ oleh guru SRAI S19 membolehkan mereka memenangi Anugerah Emas Kategori Inovasi Terbuka (Guru).


Pengarang :