Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor Md Anuar Mohd Nor (tengah) mengumumkan keluar Perikatan Nasional di pentas ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Hulu Selangor pada 10 Ogos 2023. Foto Facebook Datuk Mohd Isa – DMI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bersatu ‘memberontak’, ketua bahagian keluar parti, sokong calon BN Batang Kali

SHAH ALAM, 11 OGOS: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor mengumumkan keluar parti di atas pentas ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) malam tadi.

Md Anuar Mohd Nor turut menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional kerusi Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kasim pada pilihan raya negeri esok, lapor Malaysiakini.

“Saya letak jawatan pukul 4 petang hari ini (semalam). Keputusan ini diambil selepas berfikir panjang sebab apa yang dilakukan pada saya tidak munasabah dan tidak masuk akal.

“Jadi, apa yang berlaku ini adalah (seperti) dipermainkan geng-geng kartel dan membuatkan saya menjadi pening,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu Hulu Selangor bergolak berikutan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani yang didakwa tergolong dalam ‘kartel’ Pengerusi PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diumum calon kerusi itu.

Rentetan pengumuman tersebut, berlaku protes membakar bendera PN dan tiga ahli Bersatu Hulu Selangor digantung keanggotaan selama tiga tahun kerana mensabotaj kempen pilihan raya.

Pada 7 Ogos, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu meletak jawatan dan keluar parti kerana mendakwa pemilihan calon berat sebelah dan cenderung kepada kartel tertentu, lapor Sihar Harian.

Dr Muhammad Faiz Na’aman juga mendakwa berlaku pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor, termasuk insiden membakar bendera PN tanda protes terhadap Jawatankuasa Pemilihan Saringan Calon.


Pengarang :