Calon Barisan Nasional (BN) DUN Semenyih Wan Zulaika Anua melawat pesakit lumpuh, Shamsuri Hassan, 51, pada program ziarah kasih di Kampung Sungai Jai, Beranang, Hulu Langat pada 7 Ogos 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Cadang tubuh pusat kegiatan sukan, cakna keperluan anak muda

HULU LANGAT, 7 OGOS: Penubuhan sebuah pusat bagi pelbagai jenis kegiatan sukan antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) DUN Semenyih sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya negeri nanti.

Wan Zulaika Anua berkata dalam sesi pertemuan dengan anak muda sepanjang kempen pilihan raya negeri cadangan fasiliti sukan antara yang kerap diutarakan golongan itu.

“Jadi kemudahan ini antara perkara yang akan saya berikan perhatian bagi memastikan anak muda di DUN ini dapat melakukan aktiviti sukan dengan selesa.

“Penyelenggaraan berkala kemudahan sukan sedia ada seperti padang bola juga akan saya titikberatkan kerana saya lihat prasarana itu ada tetapi ditumbuhi rumput dan tidak diselenggara,” katanya.

Beliau ditemui selepas program ziarah kasih di Kampung Sungai Jai, Beranang hari ini.

Selain itu, katanya beliau menggunakan medium media sosial bagi mendekati anak muda yang menjadi antara pengundi tertinggi di DUN Semenyih.

“Mereka ini banyak merujuk kepada media sosial, jadi antara strategi saya gunakan adalah muat naik semua kegiatan saya di media sosial.

“Walaupun mereka mungkin nampak tidak ambil tahu tetapi sebenarnya mereka turut mengikuti perkembangan semasa melalui platform media sosial,” katanya.

Pada pilihan raya negeri, Wan Zulaika berdepan calon Perikatan Nasional Nushi Mahfodz. Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :