Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil Noorazli Said memperkenalkan tujuh inisiatif untuk kesejahteraan rakyat pada sidang media 31 Julai 2023. Foto AMIRUL FAZLI/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon BN DUN Dengkil tawar tujuh inisiatif untuk rakyat

Oleh AMIRUL FAZLI

DENGKIL, 1 OGOS: Tujuh inisiatif diperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil demi kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Noorazli Said berkata ia merangkumi inisiatif kesihatan, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan ekonomi.

“Saya bersikap realistik dan tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi saya lebih memilih untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di kawasan saya.

“Saya melihat tawaran ini mampu memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat di Dengkil untuk kita bangunkan kawasan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut calon berusia 45 tahun itu pemilihan calon seiring dengan Kerajaan Negeri dan pusat memberi kelebihan kepada penduduk Dengkil.

“Kita dapat membangunkan kawasan ini lebih baik kerana agenda kita selari bersama pentadbiran negeri dan ini memberi keuntungan kepada penduduk,” katanya.

DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Noorazli dicabar Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional), Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia) dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat).


Pengarang :