Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im
AGENDANASIONAL

Dakwaan tutup sekolah agama tidak berasas, cuba timbulkan kegelisahan umat

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dakwaan kononnya amaran diberi kepada sekolah agama persendirian di Selangor supaya keluar dari premis tidak benar sama sekali, kata menteri hal ehwal agama.

Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan tohmahan beberapa pihak yang mendakwa sekolah sedemikian diarah tutup tidak berasas, malah tuduhan tersebut tidak bertanggungjawab.

Menggesa isu tersebut dirujuk kepada pihak berkuasa supaya fakta dan konteks tepat dan jelas, beliau berkata tuduhan berkenaan bertujuan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.

“Dakwaan pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Dr Mohd Na’im menjelaskan garis panduan berkuat kuasa 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar susulan tragedi yang meragut 23 nyawa pada 2017.

Beliau juga menambah kelonggaran turut diberi kepada sekolah berkenaan selama dua tahun, malah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut melanjutkan tempoh pendaftaran.

Katanya, inisiatif berkenaan juga mendapat kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (Pitas) yang dianggotai 478 institusi sekolah agama persendirian.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, usaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.


Pengarang :