Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di perkarangan Masjid Kampung Batu 3, Semenyih, Hulu Langat pada 26 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Demi jimat belanja harian, pelajar IPT sering kunjungi jualan murah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 26 OGOS: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta memanfaatkan jualan murah untuk membeli barangan keperluan asas bagi mengurangkan kos sara hidup.

Muhamad Arif Mohamad Azam, 20, mengakui sudah lebih 10 kali berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) berhampiran kampus dan rumah sewanya bagi mendapatkan barangan dapur untuk dimasak bersama rakan-rakannya.

Muhammad Arif bin Mohamad Azam, 20,

“Sebagai pelajar, saya ingin mengurangkan bebanan keluarga walaupun ibu ayah tidaklah memaksa untuk berjimat cermat jika soal makanan.

“Saya mengambil peluang ini kerana barangan yang dijual sangat murah dan segar. Saya sering memasak dan berkongsi makanan bersama rakan serumah,” kata pelajar Diploma Perubatan Pengimejan MAHSA kampus Bandar Saujana Putra itu.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di perkarangan Masjid Kampung Batu 3, Semenyih, Hulu Langat pada 26 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Muhamad Arif antara lebih 300 pengunjung jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Batu Tiga, Semenyih di sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 500 ayam, 200 papan telur, ikan kembung, cencaru dan sardin ( 200 ekor), daging (200 pek), minyak masak (108 botol) serta bahan asas kering terjual setakat 1 tengah hari.

Sementara itu, seorang warga emas Muamarah Mutakim, 74, sentiasa menantikan jualan berkenaan berlangsung sekitar rumahnya kerana dapat bejimat selain barangan yang dijual berkualiti.

Muamarah Mutakim,74,

“Bawa RM50 sudah mencukupi untuk keperluan lebih seminggu kerana saya hanya duduk berdua di rumah. Saya seronok berbelanja di sini kerana bahan mentah seperti ayam dan ikan segar,” katanya.

Bagi suri rumah, Siti Hamsah Ismail, 47, yang pertama kali berkesempatan berbelanja di JER mengakui teruja melihat harga barangan yang ditawarkan.

Siti Hamsah Ismail,47,

“Baru hari ini saya berkesempatan berbelanja di sini kerana berhampiran dengan rumah. Tak sangka harga yang ditawarkan sangat murah.

“Saya memasak setiap hari untuk keluarga dan pastinya dapat berjimat. Semoga jualan ini terus dilaksana bagi membantu lebih ramai orang yang memerlukan,” katanya.

Ketua Kampung Batu Tiga Johari Tinin ketika ditemui turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri dan Persekutuan membantu meringgan beban penduduk menerusi jualan murah sejak tahun lalu.

Johari Tinin, 48,

“Di kampung ini rata-rata penduduk adalah warga emas sama dan golongan berpendapatan rendah. Dengan adanya jualan murah seperti ini, ia dapat mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

 


Pengarang :