Penguat kuasa membuat pemeriksaan dalam operasi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) di kilang memproses makanan sekitar Pandan Indah dan Pandan Mewah, Ampang pada 24 Ogos 2023. Foto Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Dua kilang proses makanan ada najis tikus, lipas diarah tutup

SHAH ALAM, 27 OGOS: Dua kilang memproses makanan di Pandan Indah dan Pandan Mewah, Ampang diarah tutup 14 hari kerana tahap kebersihan premis di bawah 60 peratus.

Bahagian perhubungan awam dan sekretariat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata persekitaran kotor, bahan mentah tidak disimpan rapi, penemuan najis tikus dan lipas berkeliaran dikesan di premis berkenaan.

“Kesalahan lain termasuk pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus pengendalian makanan dan suntikan tifoid, tidak memakai kasut bertutup serta berkuku panjang.

“Notis penutupan premis serta merta di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dikeluarkan dalam operasi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang memeriksa tiga kilang memproses makanan pada 24 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan.

Penguat kuasa mengeluarkan notis menutup operasi selama 14 hari di dua kilang memproses makanan sekitar Pandan Indah dan Pandan Mewah, Ampang pada 24 Ogos 2023. Foto Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ

Katanya operasi melibatkan 30 pegawai dan penguatkuasa daripada MPAJ, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL).

“Dalam operasi itu keseluruhan 15 kompaun dikeluarkan masing-masing lapan kompaun oleh PKDHL di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Manakala tujuh kompaun dikeluarkan MPAJ melibatkan kesalahan menggaji warga asing dan membuang cecair kotor ke tempat awam di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPAJ) 2007 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

Menurut kenyataan itu mana-mana pemilik premis khususnya pemprosesan, penyediaan dan pengendalian makanan diingatkan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan makanan dihasilkan bersih, selamat dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

“MPAJ, JKNS dan PKDHL akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan kebersihan premis makanan mencapai tahap yang terbaik,” katanya.

Penguat kuasa membuat pemeriksaan dalam operasi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) di kilang memproses makanan sekitar Pandan Indah dan Pandan Mewah, Ampang pada 24 Ogos 2023. Foto Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ

Pengarang :