Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ekonomi Madani: Kredit e-tunai RM100 sesuai dan mencukupi

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Pemberian kredit e-tunai RM100 kepada golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin dilihat kecil atau tidak mencukupi bagi kebanyakan orang.

Berbeza bagi pekerja sementara di sebuah syarikat penghantaran, Ahmad Nazrin Rosman, yang amat bersyukur dengan pengumuman kredit e-tunai itu, malah jumlah berkenaan dilihat mencukupi untuk beliau yang masih mencari pekerjaan tetap.

“Mungkin untuk sesetengah orang jumlah itu tidak begitu besar, tetapi dengan pemberian RM100 ini dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan saya dan akan menggunakannya untuk tujuan pembayaran tol melalui e-dompet Touch-N-Go.

“Lebih baik ada pemberian daripada tiada langsung. Apa pun saya hargai dan berterima kasih atas komitmen kerajaan,” kata pemuda berusia 22 tahun itu kepada Bernama.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata pemberian e-tunai RM100 itu mencukupi sekiranya digunakan sebaik mungkin oleh penerima untuk memenuhi keperluan perbelanjaan asas diri atau keluarga mereka.

Malah, beliau berkata jumlah diberikan kerajaan itu sesuai dalam keadaan ekonomi semasa serta kedudukan kewangan negara ketika ini yang berdepan cabaran ekonomi global tidak menentu.

“Persoalan cukup atau tidak sebenarnya sesuatu yang subjektif dan banyak faktor yang perlu diambil kira misalnya pendapatan individu atau keluarga, saiz isi rumah dan bilangan tanggungan,” katanya yang juga Ahli Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia.

Anwar semasa melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas, antaranya mengumumkan pemberian e-tunai berkenaan melibatkan peruntukan RM1 bilion yang akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

Mengenai kebaikan pemberian secara e-tunai, Mohamad Fazli berkata ia lebih selamat berbanding secara tunai sekali gus menggalakkan penggunaan sistem bayaran tanpa tunai ketika transaksi jual beli.

“Ini memudahkan proses dan menjimatkan masa, selain dapat membantu mengawal perbelanjaan, transaksi menjadi lebih cepat serta boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Bagi penambahbaikan bantuan kredit e-tunai, Mohamad Fazli mencadangkan pemantauan ke atas penggunaan bantuan itu bagi mengelakkan ia digunakan untuk tujuan pelaburan skim cepat kaya atau penipuan kewangan.

Menurutnya kerajaan juga perlu memikirkan mekanisme untuk menggalakkan pengguna berbelanja terhadap perkara atau barangan berbentuk keperluan berbanding kehendak, selain melaksanakan kajian keberkesanan mengenai pemberian e-tunai kepada golongan sasar.

Presiden Mesra Pengguna Malaysia Datuk Seri Haniff Omar pula berkata secara umumnya, sebarang pemberian kerajaan kepada rakyat termasuk e-tunai adalah amat baik dalam konteks merancakkan kegiatan ekonomi negara.

“Jumlah peruntukan RM1 billion yang bakal kerajaan suntik dalam pasaran melalui kaedah e-dompet ini boleh memanfaatkan golongan peniaga terutama yang bergiat dalam e-dagang.

“Selain itu, ia bakal memanfaatkan setiap syarikat pengendali ‘e-payment’ dari segi pertambahan keahlian dan simpanan e-tunai pengguna dalam sistem masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan jumlah perbelanjaan hingga mencecah RM1 billion, kerajaan juga seharusnya mencari jalan serta mengkaji kaedah yang boleh memanfaatkan golongan sasar lain seperti peniaga kecil di kawasan kampung dan bandar yang tidak menyertai platform e-dagang.

– BERNAMA


Pengarang :