EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika sidang media di Jalan Belatuk Bandar Puchong Jaya, Subang Jaya pada 8 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

EXCO jawab wakil rakyat, sesiapapun harus ikut peraturan (VIDEO)

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 OGOS: EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han menasihatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan agar tidak melanggar peraturan lalu lintas walaupun beliau seorang wakil rakyat.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau meminta Dr. Afif Bahardin mengenali lokaliti di kawasan sendiri dan tidak mencari alasan setelah kenderaannya disaman di kawasan pasar besar Jalan Othman, Petaling Jaya Ahad lalu.

“Dr Afif buat hantaran TikTok semalam maklumkan kawasan di pasar besar Jalan Othman tidak banyak tempat letak kereta dan kenderaannya telah disaman ketika kunjungannya di situ.

“Saya ingin jelaskan Jalan Othman kawasan yang sangat sibuk dan kenderaan. Dr Afif disaman Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) kerana menghalang lalu lintas.

“Saya juga telah buat semakan kawasan tersebut banyak tempat letak kenderaan lain iaitu di kompleks letak kenderaan yang terletak berdekatan pasar dan mempunyai 169 petak parkir,” jelas ADN Bandar Kinrara itu.

Sze Han turut membuat hantaran video berdurasi 1 minit 29 saat hari ini bagi menjawab hantaran TikTok wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu.

Sehubungan itu Sze Han menasihatkan Dr Afif agar meletak kenderaannya di kompleks letak kereta tersebut sekiranya datang lagi ke pasar besar Jalan Othman.


Pengarang :