EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menyertai program Debaton Parlimen Belia 2023 di bangunan Parlimen pada 26 Ogos 2023. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO kagum lihat pendebat muda cekap berbahas, lontar fakta tepat, bernas

SHAH ALAM, 28 OGOS: Penyertaan 100 belia dalam program Debaton Parlimen Belia 2023 di Parlimen kelmarin mendapat pujian EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin turut kagum dengan kemampuan setiap pendebat yang mampu berhujah dengan fakta yang tepat dan bernas.

“Dengan penglibatan 100 pendebat belia yang berbahas berkaitan isu dan dasar-dasar semasa, saya melihat ini adalah sesuatu yang positif untuk anak muda hari ini.

“Selain daripada keperluan untuk berhujah dengan fakta yang tepat, kemampuan para pendebat menyampaikan hujah-hujah juga amat mengagumkan,” katanya menerusi Facebook.

Jamaliah yang turut menyertai program anjuran Malaysiakini dan Parlimen Malaysia membawa usul Akta Perubahan Iklim untuk dibahas.

“Saya juga telah diberi kesempatan untuk memberi kenyataan dengan memberi fokus terhadap isu perubahan iklim yang sedang kita hadapi,” katanya.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, dan ADN Balakong Wayne Ong.

Seramai 100 pendebat muda diberi peluang mengambil bahagian dalam simulasi Parlimen bagi bertukar pendapat dan membincangkan dasar negara bersama ahli politik.


Pengarang :