Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fitnah Kerajaan Negeri, MB serah surat tuntutan kepada Sanusi

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar menyerahkan surat tuntutan kepada ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional berhubung kenyataan fitnah terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata surat yang disampaikan peguam beliau menuntut agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik dan minta maaf berhubung kenyataan fitnah itu dalam tempoh 48 jam.

Menteri Besar Kedah itu juga diminta memberi jaminan fitnah itu tidak diulang selain membayar ganti rugi RM10 juta kerana mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan pentadbiran Selangor.

“Datuk Seri Sanusi telah memfitnah, antara lain, bahawa saya memberikan tanah negeri secara percuma kepada syarikat swasta,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin juga menjelaskan pihaknya akan mengenakan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah sekiranya Sanusi gagal melaksanakan tuntutan yang diarahkan.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi berhubung ucapannya di Jitra, Kedah.

Manakala Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad, yang terlibat dalam projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.

Pada 3 Ogos, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai peneraju SMG menyaman mereka yang melempar fitnah terhadap usahanya memulihara dan membangunkan Sungai Klang.


Pengarang :