Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gagal beri penjelasan skandal REE, Sanusi fitnah Selangor

GOMBAK, 8 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari percaya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sengaja melempar fitnah untuk mengelak daripada skandal unsur bumi nadir (REE) di Kedah.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri berkata pemimpin PAS tersebut dalam keadaan terdesak kerana tidak mampu memberi penjelasan skandal berkenaan sebelum menohmah Kerajaan Selangor.

“Mulalah dialih. Mengapa tuduh kita (Kerajaan Selangor)? Sebab hendak lari dan mulalah ‘divert’ (melencong), ini menunjukkan tahap keterdesakan melampau, mengembangkan fitnah dan dakwaan.

“Saya terpaksa ambil tindakan. Bukan tidak tahan tetapi kena jaga kredebiliti, kena pertahan integriti, tatakelola pentadbiran dalam Selangor,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Amirudin juga bertegas untuk meneruskan saman sekalipun ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu sedia memohon maaf atas fitnah terhadap anak syarikat Kerajaan Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah kelompok dan minum petang di Pangsapuri Selayang Sejati, Gombak pada 8 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Inilah masalah, bercakap dulu baru fikir, susah. Dah banyak kali (fitnah), takat telinga saya, tidak apa. Ini sampai kritik kredibiliti pentadbiran, kerajaan, pegawai yang buat kerja, anak syarikat yang profesional.

“Sikap sebegini sangat memalukan. Tidak menunjukkan sikap pemimpin, tapi janganlah nafikan tugas orang lain. Saya percaya benda ini akan berulang. Sudah terang berkali-kali,” katanya

Pada 4 Ogos, Amirudin mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi Md Nor berhubung ucapannya di Jitra, Kedah, dua hari sebelumnya.

Semalam, Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad, yang terlibat dalam projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.

Pada 3 Ogos, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai peneraju SMG menyaman mereka yang melempar fitnah terhadap usahanya memulihara dan membangunkan Sungai Klang.

Pada 5 Ogos, Berjaya Land menjawab satu persatu kenyataan palsu yang dibuat Sanusi:

1. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tidak menjual 55 peratus sahamnya dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land

2. Syarikat bertujuan khas LLSB dibentuk melalui usaha sama LLSB (45 peratus), anak syarikat penuh MBI, dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus)

3. Selain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang, usaha sama itu juga untuk menyediakan projek perumahan mampu milik

4. Projek SMG mendapat pengiktirafan Green World Awards 2023 atas usahanya membersihkan Sungai Klang

5. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 600 ekar bernilai RM10 bilion

6. Beberapa bidang tanah seluas 103.6 ekar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan

7. Berjaya Land dikehendaki mengumpul dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar harga pasaran

8. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak mendapat tanah 600 ekar

9. Negeri Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta daripada tanah yang diberikan itu

10. Hanya 103.6 ekar tanah diluluskan untuk usaha sama tersebut dan akan menjelaskan premium tanah RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa seperti ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta


Pengarang :