AGENSISELANGOR

Hasil tani segar, berkualiti menerusi jualan bergerak SFV

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melaksanakan inisiatif baharu menjual hasil tani segar dan berkualiti tinggi yang ditanam di Selangor Fruits Valley (SFV) untuk rakyat negeri ini.

Penolong pengurus kanan ladangnya berkata menerusi jualan bergerak SFV PKPS menjual hasil tani terdiri daripada buah-buahan seperti nanas MD2, jambu batu dan belimbing nangka madu.

Selain itu sayur-sayuran antaranya kacang buncis, terung, bendi, tomato, kangkung, sawi dan bayam turut dijual kepada orang ramai.

“Program ini bermula sejak Mac lalu, pada peringkat permulaan ia diadakan di pasar pagi dan pasar malam sekitar Ijok dan Bestari Jaya. Namun disebabkan sambutan menggalakkan kita tambah lokasi jualan di Felda Sungai Tengi dan Felda Gedangsa Hulu Bernam.

“Selain tawar hasil tani segar dan berkualiti tinggi pada harga murah berbanding pasaran, program ini juga bertujuan membantu memasarkan tanaman peserta usahawan tani yang ditanam di ladang SFV,” kata Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid kepada Selangorkini.

Jelas Raja Muhammad Faiz jualan bergerak SFV telah menambah kapasiti pengeluaran dan logistik dengan bergerak bersama Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di beberapa lokasi terpilih bulan ini.

“Kita turut adakan jualan sayur dan buah-buahan di lokasi terpilih JER untuk beri kemudahan orang ramai dapatkan hasil tani segar selain enam barangan asas yang dijual dalam jualan murah.

“Kita masih teruskan jualan bergerak SFV di pasar pagi dan malam sekitar Kuala Selangor dan Hulu Bernam mengikut jadual seperti hari ini di pasar petang Bukit Badong, Ijok bermula 4.30 petang hingga 7 malam, esok di pasar pagi Felda Sungai Tengi dari 8 hingga 11.30 pagi,” katanya.


Pengarang :